Wednesday 4 January 2023

Sakit Dunia

Pernahkah anda merasa lelah menghadap dunia? 
Pernahkah anda berputus-harap pada segala perkara? 
Pernahkah anda merasa sendiri tanpa sesiapa di sisi? 
Pernahkan anda bawa diri meratapi nasib diri? 

Pastinya semua manusia di atas muka Bumi ini begitu. Setiap orang punya jalan cerita tersendiri. Setiap orang punya cabaran yang berbeza,namun itulah rencah kehidupan setiap personaliti yang kita ketemu berbeza malah jangan dilupa setiap detik kita menghirup udara di dunia ini yang pasti pada akhirnya kita akan pergi juga suatu masa nanti. Pernah aku terfikir mengapa diberi nyawa menjadi khalifah di muka Bumi ini jika nyawa diambil satu masa nanti? Setiap manusia juga percaya walau perbezaan agama sekalipun, sesiapa yang meninggalkan dunia ini mereka akan bangkit juga di dunia berbeza. Tafsirannya mungkin berbeza tetapi maksudnya sama, kita masih diberi peluang untuk dibangkitkan lagi setelah mati meninggalkan dunia ini. Jadi apa gunanya ditiupkan roh dalam jasad kita semata-mata untuk menghadap perpisahan di dunia sementara ini? Persoalan ini seringkali bermain di fikiranku.

Untuk aku, dunia ini gelap, penuh ketidakpastian, penuh kesuraman, penuh jiwa-jiwa kesedihan dan terluka. Yang dilihat terpaling gembira juga pada akhirnya yang paling menyedihkan. Manusia yang punya emosi pelbagai rencam, manusia yang perlu memahami manusia lain untuk meneruskan kehidupan pada akhirnya mereka gagal memahami diri sendiri dan hilang dalam kesesakan dunia hanya kerana ingin mengikut norma masyarakat dunia. Segala-galanya berputar pada paksi yang sama, kita perlu mengikut peredaran zaman hari ini untuk kekal relevan dan berkuasa. Ini terpakai untuk sang penguasa yang menentukan pemerintahan negara dan sang Raja yang berada di atas takhta. Bagi rakyat terbawah pula, anda hanya perlu mengikut sahaja sistem yang ada demi sesuap nasi, demi meneruskan kehidupan dan demi melangsaikan hutang-hutang yang dicipta sang penguasa di atas sana. 

Buat insan yang sedar betapa bangsatnya sistem dunia, mereka akan merasa lelah menghadap dunia seperti aku. Bernafas sahaja merasa perih apa lagi untuk meneruskan kehidupan. Mungkin pada ketika aku menulis blog ini, hati aku merasa sayu dan sedang berputus-asa, tetapi nyawa yang dipinjamkan ini tetap juga aku hargai, jadi aku mahu terus hidup dengan memberi cinta dan menyayangi semua orang di sekeliling aku supaya mereka tidak merasa kesepian seperti aku. Untuk setiap masa yang berlalu kerana gagal menyelamatkan jiwa yang lara maafkan aku, hari ini di awal Tahun Baru aku nekad menikmati hidup tanpa sesal. Terus melangkah demi melengkapkan putaran nyawa yang diberi, semoga satu masa nanti ketika aku dibangkitkan semula Yang Maha Kuasa memberi segala kebahagiaan yang aku cari.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum..
Sila tinggalkan komen anda
Satu pun jadilah! xoxo